Bandaraya KL Disasarkan Duduki 20 Tangga Teratas Dengan Pendapatan US $15,000 Menjelang 2020 – Dato’ Raja Nong Chik
MELAKA, 11 April (Bernama) — Bandaraya Kuala Lumpur disasarkan menduduki tangga 20 teratas dalam indeks boleh berdaya huni dengan pendapatan tinggi sebanyak US$15,000 menjelang 2020.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pada masa ini, Kuala Lumpur menduduki tangga ke-79 daripada 130 bandaraya dalam indeks boleh berdaya huni mengikut Economist Intelligence Unit (EIA), sebuah badan penyelidikan Amerika Syarikat.
“Antara bidang yang akan diberi penekanan dalam usaha melonjakkan Kuala Lumpur di persada antarabangsa ini termasuk peningkatan kemudahan pengangkutan dan aspek kehijauan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Penduduk 2011 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Seminar tiga hari berakhir hari Isnin dihadiri oleh lebih 200 wakil penduduk seluruh Kuala Lumpur. Ia dirasmikan oleh Datuk Bandar DBKL Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentang Bajet DBKL dan juga penerangan mengenai “Greater KL” dan tempat-tempat ikonik.
Beliau berkata program transformasi Kuala Lumpur itu juga sebagai memenuhi program di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKEA).
Raja Nong Chik berkata bidang pengangkutan mengambil masa untuk ditingkatkan kerana penambahbaikan infrasturuktur mengambil masa dan kesannya tidak akan dilihat dalam masa yang cepat.
Mengikut laporan DBKL, mod pengangkutan awam Kuala Lumpur mencakupi 12 peratus mengikut data 2009 berbanding kawasan metropolitan utama lain seperti Singapura, Hong Kong dan Tokyo, yang mempunyai mod pengangkutan awam lebih tinggi yang melebihi 50 peratus.
Mengulas lanjut, beliau berkata EIA juga mengambil kira elemen kebersihan dan kehijauan bagi penarafan bandaraya boleh berdaya huni.
Beliau berkata pendapatan tahunan sebanyak US$7,000 isi rumah penduduk Kuala Lumpur pada masa ini perlu dilonjakkan dua kali dalam mencapai sasaran US$15,000 dalam tempoh 10 tahun ini.
Sumber: BERNAMA