Posts Tagged ‘ menteri wilayah persekutuan dan kesejahteraan bandar ’

Terminal Sejahtera Untuk Pelajar Ulang Kaji Pelajaran – Raja Nong Chik

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) — Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan menubuhkan pusat ulang kaji pelajaran dikenali sebagai Terminal Sejahtera untuk kemudahan pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar ibu negara.

Menteri berkenaan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata terminal itu ditubuhkan untuk memberi ruang serta kemudahan kepada pelajar mengulang kaji pelajaran dalam situasi lebih selesa dan kondusif.

“Tumpuan kita adalah bagi kawasan rumah pangsa di mana mungkin suasana untuk belajar di rumah tidak selesa.

“Jadi, kita akan tubuhkan pusat ini supaya mereka ada tempat untuk belajar dengan selesa,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Cemerlang bagi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia 2010 kawasan Parlimen Lembah Pantai hari Isnin.

Beliau berkata peruntukan bagi tujuan itu sudah diluluskan Kementerian Kewangan dan pihaknya sedang mengenal pasti beberapa lokasi untuk membina terminal tersebut sebelum ia dapat dimanfaatkan pelajar menjelang penghujung tahun ini. Terdahulu, dalam ucapannya, Raja Nong Chik yang juga Ketua Umno bahagian Lembah Pantai mengumumkan bahawa Umno kawasan berkenaan menyediakan peruntukan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi program pembangunan pendidikan.

“Bagi memartabatkan pendidikan, sebanyak RM10,000 akan diperuntukkan bagi setiap PIBG sekolah di kawasan Lembah Pantai.

“Kita ada 13 sekolah di kawasan Lembah Pantai ini. Majlis pelancaran dan pemberian peruntukan itu akan diadakan 15 Mei depan di Pusat Dagangan Dunia Putra,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 284 pelajar cemerlang masing-masing menerima anugerah berupa sijil dan wang tunai bernilai antara RM100 hingga RM250.

Majlis tersebut anjuran Umno bahagian Lembah Pantai dengan kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Lembah Pantai.

Sumber: BERNAMA

Rumah mampu milik ditambah – Dato’ Raja Nong Chik

KUALA LUMPUR 18 April – Kerajaan akan membangunkan lebih banyak rumah mampu milik di beberapa kawasan bagi memastikan golongan belia tidak perlu menyewa atau menetap di luar ibu kota.

Ia juga sejajar dengan hasrat kerajaan yang menyasarkan lebih ramai orang menghuni bandar raya Kuala Lumpur menjelang tahun 2020.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, usaha itu akan dipergiatkan kerana kerajaan menyedari bebanan kewangan yang ditanggung oleh golongan belia.

“Kita sedia maklum dengan masalah yang dihadapi oleh golongan belia terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana dan kerana itu, kerajaan berusaha menangani isu perumahan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab usul daripada seorang perwakilan dalam Majlis Perundingan Belia Negeri peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berlangsung di sini, kelmarin.

Perwakilan berkenaan mencadangkan supaya kerajaan khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan lebih banyak rumah mampu milik bagi memberi peluang kepada golongan muda memiliki rumah sendiri.

Golongan belia berpendapatan rendah dikatakan tidak dapat memanfaatkan pengenalan Skim Rumah Pertamaku yang diumumkan kerajaan berikutan harga kebanyakan rumah di ibu kota melampaui kemampuan mereka.

Selain itu, DBKL juga diminta melonggarkan syarat sewaan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memberi peluang kepada golongan belia terutama yang baru berkahwin dan belum mempunyai anak untuk menyewa sekurang-kurangnya selama dua tahun.

Tempoh itu adalah bagi memberi peluang kepada pasangan belia untuk menabung dan kemudian digunakan untuk pembayaran deposit untuk membeli rumah.

Bagaimanapun, Raja Nong Chik berkata, DBKL mempunyai syarat tersendiri bagi penyewaan rumah kos rendah kerana bilangan unit yang terhad sedangkan senarai menunggu terlalu panjang.

“Atas sebab itu juga, jika keutamaan diberi kepada keluarga kecil (pasangan yang baru mendirikan rumah tangga tetapi belum mempunyai cahaya mata), kita bimbang keluarga besar (dengan anak ramai) akan ketinggalan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Beberapa klausa diperhalusi

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Mac – Kerajaan tidak akan menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru 2010 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun ini meskipun terdapat desakan untuk berbuat demikian.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, ini kerana rang undang-undang tersebut mewakili kehendak penduduk dan waris Kampung Baru setelah kerajaan mengambil kira pandangan mereka secara keseluruhan.

Beliau berkata, cuma di peringkat ini kerajaan sedang memperhalusi beberapa klausa yang terdapat di dalam draf rang undang-undang berkenaan.

“Kita tidak akan menarik balik rang undang-undang ini dan kita juga telah mengadakan perjumpaan berkali-kali dengan wakil pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan begitu juga dengan semua ketua kampung.

“Semua sepakat menyokong penuh penubuhan rang undang-undang ini dengan beberapa klausa diperhalusi, sebab itu kita tangguh pembentangannya sehingga Jun,” katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru 2010 dikemukakan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 14 Disember 2010 bertujuan menubuhkan satu perbadanan yang bertanggungjawab merancang dan mengawal selia pembangunan Kampung Baru.

Bagaimanapun rang undang- undang itu yang dijadual dikemukakan untuk bacaan kali kedua dan dibahaskan pada persidangan kali ini ditangguhkan sehingga Jun bagi membolehkan beberapa klausa di dalam rang undang-undang itu diperhalusi.

Raja Nong Chik dalam penggulungannya turut menolak dakwaan Dr. Lo’Lo’ Mohamad Ghazali (Pas- Titiwangsa) bahawa beliau mungkir janji apabila membentangkan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat sebelum bertemu dengan pihak berkepentingan di Kampung Baru.

Dalam pada itu, Raja Nong Chik berkata, wakil kementerian akan turun ke setiap kampung bagi menjelaskan mengenai rang undang-undang itu supaya tidak timbul sebarang kekeliruan.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata, kementerian bersedia menimbang cadangan supaya nama beberapa jalan di ibu negara ditukar dengan nama tokoh seperti Jeneral Tun Ibrahim Ismail dan Leftenan Adnan Saidi.

Katanya, selain nama jalan seperti yang dicadangkan Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas), masih terdapat nama jalan dalam senarai menunggu untuk digunakan bagi jalan baru, antaranya nama Allahyarham Tun Hussein Onn atau Jalan Tun Hussein Onn dan Allahyarham Tun Ghaffar Baba atau Jalan Tun Ghaffar Baba.

Bagaimanapun beliau berkata, penukaran nama sesuatu jalan yang sudah bernama di Kuala Lumpur kepada nama baru pada kelazimannya menerima bantahan.

“Ini disebabkan pemilik premis sudah lama menggunakan alamat premisnya berpandukan pada nama jalan berkaitan dan akan menimbulkan kesulitan seperti pertukaran Mykad, alamat premis, surat-menyurat, bil utiliti dan sebagainya.

“Kelulusan penamaan atau pertukaran nama jalan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuk di Putrajaya dan Labuan adalah di bawah Jawatankuasa Negeri Nama Geografi Wilayah Persekutuan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Dua beradik OKU terima sumbangan

Dua beradik OKU terima sumbangan dari Raja Nong Chik

RAJA Nong Chik Raja Zainal Abidin (bertali leher) menyampaikan sumbangan kepada Zaiton Osman sambil diperhatikan oleh Pengarah Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Idris Mohd. Isa (dua dari kiri), wakil UOA (kiri) dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai, Nor Asyikin Jaafar.

KUALA LUMPUR 16 Mac – Dua beradik orang kurang upaya (OKU) di sini menerima kejutan apabila mereka dikunjungi Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin hari ini.

Kunjungan itu dibuat bagi menyampaikan sumbangan wang sebanyak RM4,500 kepada mereka, yang terlibat dalam kejadian kebakaran kecil di rumah mereka di Blok 20 Taman Bukit Angkasa, Taman Bukit Angkasa semalam.

Zaiton Osman, 51, dan adiknya, Azhari Osman, 47, bagaimanapun bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi itu. Kebakaran dipercayai bermula di bahagian ruang tamu rumah mereka.

Bantuan yang disampaikan adalah hasil sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan sebanyak RM1,000, syarikat pemaju UOA (RM3,000), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (RM300) dan UMNO Bahagian Lembah Pantai (RM200).

Raja Nong Chik meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk meninjau tempat kejadian dan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada dua beradik berkenaan.

Semalam, wakil dari pejabat Khidmat Masyarakat UMNO Lembah Pantai telah melawat mangsa bersama wakil Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk membantu mendaftarkan mereka dalam senarai program e-Kasih bagi membolehkan mereka mendapat bantuan sewajarnya.

Sumber: Utusan Malaysia

Spektra tingkatkan kualiti Nadi Putra

PUTRAJAYA 11 Mac – Sistem Pengurusan dan Kawalan Transit Awam Putrajaya (Spektra) yang mula diperkenalkan di sini dijangka mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan bas Nadi Putra dan tempat letak kereta awam.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, Spektra merangkumi empat komponen utama iaitu sistem pengurusan bas, maklumat bas, tiket elektronik dan tempat letak kereta automatik.

Beliau menjelaskan, sistem pengurusan bas melibatkan pemasangan on board unit (OBU) di atas bas yang memiliki ciri-ciri sistem penentu kedudukan global (GPS) dan sistem komunikasi radio paket (GPRS) yang akan menghantar data mengenai identiti bas, pemandu, laluan operasi dan bilangan penumpang kepada Sistem Komputer Berpusat Putrajaya (PutraNet).

“Dengan terlaksananya Spektra ini, Perbadanan Putrajaya mampu menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam dan tempat letak kereta awam yang terbaik dan lebih efektif kepada masyarakat.

“Selepas ini tiada lagi alasan pengguna untuk tidak menggunakan perkhidmatan bas kerana semua kemudahan telah disediakan dengan sempurna di Putrajaya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Spektra, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Samsudin Osman dan Pengarah Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Abd. Ghani Ahmad.

Raja Nong Chik berkata, sistem maklumat bas akan berperanan sebagai pusat kawalan yang menyalurkan maklumat jangka masa ketibaan pada skrin yang dipasang di 16 buah perhentian bas terpilih bagi membolehkan pengguna mengetahui jadual perjalanan bas.

“Sistem tiket elektronik pula akan bertindak menguruskan kutipan tambang bas secara tunai dan penggunaan pas bulanan. Kesemua transaksi akan dihantar terus kepada sistem komputer di depot bas sebelum disatukan ke dalam PutraNet.

“Sistem tempat letak kereta automatik pula akan beroperasi di pusat Park and Ride (P&R) bagi mengendalikan bayaran secara tunai dan penggunaan pas bulanan secara harian dan bermalam pada kadar bayaran yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Nong Chik memberitahu, pelaksanaan Spektra menelan belanja RM17 juta dengan 115 buah bas telah dilengkapi sistem tersebut.

Sementara itu, katanya, kementeriannya akan menilai tahap keberkesanan Spektra Putrajaya sebelum diperluaskan ke ibu negara.

“Jika ia berkesan dan mampu menarik lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan bas, kami akan menggunakan aplikasi yang sama di ibu negara,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Aduan Rakyat & Jawapan dari Raja Nong Chik

Aduan orang ramai dan jawapan dari Raja Nong Chik yang diambil dari Laman Facebook beliau.

=========================================================================

Benson See

Aduan:

Dato, what happen to the road expansion project at Jalan Genting Klang? There is no urgency to complete the project and it is causing a lot of inconveniences to us. It seemed to be abandoned. The news came out in Berita Harian today. This is what will happen when the goverment appoints an incompetent contractor to carry out such project. Tax payers are the end losers. This will definitely cause Barisan a lot of votes in the coming election.

Jawapan:

DBKL sedang melaksanakan kerja-kerja pelebaran sebahagian dari Jalan Genting Kelang sepanjang 3.2km dari persimpangannya dengan Jalan Ayer Panas hingga ke persimpangan Jalan 1/27a (Wangsa Maju) bermula pada 18 Disember 2007 dan dijangka siap pada penghujung tahun 2010 atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

DBKL menghadapi beberapa masalah dalam pelaksanaan projek ini seperti isu pengambilan tanah, pengalihan utiliti serta pengurusan lalulintas iaitu mewujudkan lalulintas yang memuaskan semasa peringkat pembinaan. Sebahagian dari projek ini, iaitu dari Jalan Usahawan ke Jalan 1/27a (Wangsa Maju),sepanjang 1.7 km telah siap dilebarkan. Manakala baki pembinaan sepanjang 1.5 km dari jalan air panas hingga ke persimpangan jalan usahawan sedang giat dilaksanakan.

Untuk makluman tuan juga, projek ini adalah tidak terbengkalai dan sebaliknya kerja-kerja sedang giat dijalankan di tapak. Kerja-kerja utama pembinaan adalah dijalankan pada waktu malam supaya mengurangkan kesesakan lalulintas dan meminimakan gangguan aktiviti perniagaan di kawasan ini khususnya di waktu puncak. Untuk mempercepatkan penyiapan projek ini kontraktor telah menambahkan bilangan tenaga buruh serta jentera.

James George

Aduan:

YB, thanks for the great progress and development that you have brought to the Bukit Kerinchi, Pantai Hillpark and Pantai Panorama area. This is a good start.

I would like to draw your attention to the shops and stalls all along Jalan Pantai Permai as the food stalls are dirty and unhygienic leading to rubbish being dumped along the curb all along Jalan Pantai Permai. Additionally, what makes it worse have been the few mechanic shops and car wash shops (esp the one right opposite the traffic light) which takes up most of the road and at times causes unnecessary traffic jams up that street. Are there any plans to move them to a more suitable location?

Am looking forward to hearing from you on the plans that you have on what will be done to ease the traffic clogged and dirty street of Jalan Pantai Permai.

Thanks again and wishing you Selamat Berpuasa and a Selamat hari Raya. Maaf Zahir Batin.

Jawapan:

Dimaklumkan bahawa KWPKB dengan kerjasama DBKL akan membangunkan sebuah pusat penjaja di Bukit Angkasa bagi menempatkan semula penjaja dan peniaga kecil di sepanjang Jalan 1/112, Bukit Angkasa dan Jalan Pantai Permai, Pantai Dalam.

Pembangunan pusat penjaja ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh setahun.

Seramai 5 orang pengusaha bengkel kereta di Jalan 1/112 yang enggan menerima tawaran tersebut akan dipindahkan ke lokasi lain di Jalan Pantai Murni.

DBKL berharap penempatan semula penjaja dan peniaga kecil di pusat penjaja dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas di kawasan tersebut.

Fadley Ahmad

Soalan:

Salam Dato’ minta tolong Dato’ beri perhatian kepada permohonan ruma hsewa PPR saya yang telah sekian lama, saya telah hadir temuduga untuk penempatan di Blok 100 Pantai Dalam, pada bulan April 2010 dengan Datuk Bandar KL, namun sehingga sekarang belum ada jawapan. No. Pend. 770825-01-6025 RS. TQ Dato’ harap mendapat perhatian Dato’.

Updated:

Permohonan telah dibawa ke Mesyuarat JK Peruntukan Rumah Awam & diluluskan. Namun, surat tawaran hanya akan dikeluarkan tertakluk kepada kekosongan unit.

Mokhtar Abdl Aduwad

Aduan:

Salam Dato RNC ….merujuk dari mesyuarat majlis perundingan belia kawasan bandar tun razak yang lalu … Masalah downtown cheras masih belum dapat diselesaikan …… Isu penganjur yang tamak mengunakan keseluruhan tempat letak kereta sebagai tapak perniagaan…. sehingga pengunjung terpaksa meletakkan kereta dibahu2 sepanjang jalan yang menyebabkan kesesakkan lalulintas…… Ini menyukarkan penguna, ambulance dan jentera bomba jika berlaku sebarang kecemasan….. Saya mencadangkan agar lokasi Downtown Cheras di tukar ke Stadium Bukit Jalil yang lebih luas dan di selia sendiri oleh DBKL ….. Agar ianya lebih tersusun…. Saya berharap masalah dan cadangan ini dpt perhatian dari pihak Dato’…. Sekian…Terima kasih… Selamat. Menyambut Hari Raya Aidil fitri

Jawapan:

Dimaklumkan bahawa salah satu matlamat awal penubuhan Bazaria larut malam Downtown Cheras adalah untuk memajukan Pusat Penjaja Velodrome yang sebelum ini kurang mendapat sambutan.

Kesesakan lalulintas adalah disebabkan oleh peniaga haram yang berniaga di bahu-bahu jalan dan dbkl sedang mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu tersebut.Bagi cadangan untuk memindahkan bazaria larut malam Downtown Cheras, DBKL berpendapat tindakan berkenaan akan menyebabkan pusat penjaja tersebut kurang maju dan tidak dikunjungi orang awam.

=========================================================================

Seperti yang ramai sedia maklum, Dato’ Raja Nong Chik meluangkan masa selama sejam bersama orang ramai supaya orang ramai dapat membuat aduan dan ‘suggestion’ secara terus kepada Menteri Wilayah Persekutuan & Kesejahteraan Bandar ini. Biasanya diadakan pada pukul 5 – 6 petang setiap hari rabu. Namun, kadangkala ditukar ke waktu lain jika ada perkara yang tidak dapat dielakkan, dan notis pemberitahuan mengenai penukaran waktu itu akan letakkan terlebih dahulu.

Bagi aku, cara Raja Nong Chik ini ada kelainan sikit daripada cara menteri lain menerima aduan. Memang lah kita ada saluran yang lebih ‘teratur’ dan mengikut prosedur, tapi cara ini juga menyenangkan semua pihak. Sesiapa yang ingin membuat aduan, hanya memerlukan akaun Facebook dan dia boleh mengadu secara terus.

Lagi aktiviti Raja Nong Chik.