Posts Tagged ‘ kampung baru ’

Beberapa klausa diperhalusi

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Mac – Kerajaan tidak akan menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru 2010 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun ini meskipun terdapat desakan untuk berbuat demikian.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, ini kerana rang undang-undang tersebut mewakili kehendak penduduk dan waris Kampung Baru setelah kerajaan mengambil kira pandangan mereka secara keseluruhan.

Beliau berkata, cuma di peringkat ini kerajaan sedang memperhalusi beberapa klausa yang terdapat di dalam draf rang undang-undang berkenaan.

“Kita tidak akan menarik balik rang undang-undang ini dan kita juga telah mengadakan perjumpaan berkali-kali dengan wakil pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan begitu juga dengan semua ketua kampung.

“Semua sepakat menyokong penuh penubuhan rang undang-undang ini dengan beberapa klausa diperhalusi, sebab itu kita tangguh pembentangannya sehingga Jun,” katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru 2010 dikemukakan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 14 Disember 2010 bertujuan menubuhkan satu perbadanan yang bertanggungjawab merancang dan mengawal selia pembangunan Kampung Baru.

Bagaimanapun rang undang- undang itu yang dijadual dikemukakan untuk bacaan kali kedua dan dibahaskan pada persidangan kali ini ditangguhkan sehingga Jun bagi membolehkan beberapa klausa di dalam rang undang-undang itu diperhalusi.

Raja Nong Chik dalam penggulungannya turut menolak dakwaan Dr. Lo’Lo’ Mohamad Ghazali (Pas- Titiwangsa) bahawa beliau mungkir janji apabila membentangkan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat sebelum bertemu dengan pihak berkepentingan di Kampung Baru.

Dalam pada itu, Raja Nong Chik berkata, wakil kementerian akan turun ke setiap kampung bagi menjelaskan mengenai rang undang-undang itu supaya tidak timbul sebarang kekeliruan.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata, kementerian bersedia menimbang cadangan supaya nama beberapa jalan di ibu negara ditukar dengan nama tokoh seperti Jeneral Tun Ibrahim Ismail dan Leftenan Adnan Saidi.

Katanya, selain nama jalan seperti yang dicadangkan Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas), masih terdapat nama jalan dalam senarai menunggu untuk digunakan bagi jalan baru, antaranya nama Allahyarham Tun Hussein Onn atau Jalan Tun Hussein Onn dan Allahyarham Tun Ghaffar Baba atau Jalan Tun Ghaffar Baba.

Bagaimanapun beliau berkata, penukaran nama sesuatu jalan yang sudah bernama di Kuala Lumpur kepada nama baru pada kelazimannya menerima bantahan.

“Ini disebabkan pemilik premis sudah lama menggunakan alamat premisnya berpandukan pada nama jalan berkaitan dan akan menimbulkan kesulitan seperti pertukaran Mykad, alamat premis, surat-menyurat, bil utiliti dan sebagainya.

“Kelulusan penamaan atau pertukaran nama jalan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuk di Putrajaya dan Labuan adalah di bawah Jawatankuasa Negeri Nama Geografi Wilayah Persekutuan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Advertisements

Masalah Tekanan Air Rendah, Banjir Di Flat PKNS Jalan Sg Baru Berakhir Sebelum Jun Ini – Raja Nong Chik

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) — Masalah tekanan air rendah dan perparitan yang telah lebih 10 tahun membelenggu penduduk di kawasan flat PKNS, Jalan Sungai Baru, Kampung Baru, di sini bakal berakhir selewat-lewatnya Jun ini.

Flat PKNS Jalan Sg Baru

Flat PKNS Jalan Sg Baru

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata kerja membaik pulih sistem saluran paip dan perparitan itu akan dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di bawah Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia.

“Walaupun kerja-kerja membaiki saluran paip ini bukan di bawah DBKL atau Kerajaan Persekutuan kerana flat ini di bawah naungan PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor), oleh kerana atas rasa tanggungjawab kerajaan jadi saya cadangkan kerja-kerja ini dibuat di bawah Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia.

Flat PKNS Jalan Sg Baru

Flat PKNS Jalan Sg Baru

“Dari segi kos yang diperlukan, kita akan berbincang dengan Syabas dan penduduk terlebih dahulu, mungkin 80 peratus diambil dari tabung dan 20 peratus dari penduduk atau Syabas,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di kawasan itu pada Selasa.

Beliau berkata kejadian banjir kilat yang sering berlaku di kawasan yang mempunyai enam blok kediaman itu setiap kali hujan lebat juga bakal berakhir apabila sistem perparitan dibaiki dan dibersihkan.

“Kita juga akan memasang pam tambahan untuk menyedut keluar air, jadi apabila hujan lebat kawasan ini tidak akan banjir lagi,” katanya yang meluangkan masa kira-kira sejam melihat sendiri dan mendengar permasalahan penduduk kawasan itu.

Sementara itu, seorang penduduk Mohamad Subari, 74, yang ditemui Bernama melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang prihatin tentang masalah mereka.

“Selama 10 tahun kami menderita tekanan air tak kuat, nak mandi, basuh baju semua susah…tambah lagi kami ramai yang sudah berumur, jadi terima kasih banyaklah kepada kerajaan,” kata pesara kerajaan itu yang telah mendiami kawasan itu selama 47 tahun.

Seorang lagi penduduk, Nazir Hussin Akhtar Husin, 31, berkata kos untuk membaik pulih sistem saluran air lama di kediaman empat tingkat itu boleh mencecah hingga RM1,500 bagi sebuah rumah.

“Ada penduduk yang baiki menggunakan duit sendiri, tetapi bagi yang tidak mampu terpaksalah bersabar dengan tekanan air yang rendah terutamanya pada waktu puncak,” katanya yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno.

Dipetik dari BERNAMA

Raja Nong Chik: Skim Amanah Pelaburan Hartanah

Lebih kurang 2 minggu lepas, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mencadangkan kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk memperkenalkan Skim Amanah Pelaburan Hartanah. Dalam sibuk-sibuk dengan perancangan pembangunan Kampung Baru, Raja Nong Chik kata skim tu tak akan menjejaskan pemilikan tanah di Kampung Baru tu. Bagi aku, mungkin jugalah kerajaan nak dapatkan modal untuk pembangunan hartanah tapi aku rasa ini adalah satu perancangan jangka panjang yang baik.

Kita pun selalu dengar orang main saham la, simpan duit di Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW), Amanah Saham Nasional (ASN), ada juga yang melabur di luar. Tapi aku rasa skim ni adalah salah satu cara nak melabur dengan cara selamat. Bukan satu dua kes penipuan yang melibatkan saham dan pelaburan ni, malah macam dah biasa kat telinga kita. Itupun ada juga kes yang tidak dilaporkan pada pihak berkuasan dan tidak diwar-warkan. Jadi, ia bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan.

Pasal Raja Nong Chik cadang perkenalkan Skim Amanah Pelaburan Hartanah tu, baca berita kat sini.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Skim Amanah Pelaburan Hartanah wajar diperkenal

Oleh Ahmad Farizal Hajat

ahmadfarizal@bharian.com.my

2010/06/24

PNB diminta bantu Bumiputera bangunkan Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) dicadang memperkenalkan Skim Amanah Pelaburan Hartanah bagi membolehkan pelabur Bumiputera menyertai sama pembangunan semula Kampung Baru yang diramal bakal muncul sebagai ikon hartanah terunggul di Lembah Klang.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB), Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berkata, skim itu tidak sama sekali menjejaskan hak pemilik dan pewaris hartanah di kawasan berkenaan, sebaliknya bermatlamat memberi pulangan kepada semua Bumiputera di seluruh negara.

“Kementerian sudah menemui PNB bulan lalu dan mengadakan perbincangan mengenai bentuk pembangunan Kampung Baru dan ia termasuk cadangan penubuhan skim amanah yang kini sedang diperhalusi dalam kajian mereka.

…………

(baca lagi petikan berita di sini)

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Banyak baiknya kalau ada skim macam ni. Masa ASB dan ASW dilancarkan dulu, bukan main lagi orang beli. Setiap kali kerajaan lancar amanah saham ataupun amanah pelaburan, mesti laku sebab orang tau memang selamat dan dapat pulangan yang boleh dikatakan menguntungkan jugak la. Lagipun dengan adanya skim ni, aku rasa nilai tanah kat Malaysia, umumnya dan di Kampung Baru, khususnya akan naik bukan saja di pasaran tempatan malah boleh tarik pelabur asing.

Harap-harapnya dengan cara ni, kita boleh kukuhkan lagi kedudukan kewangan negara. Siapa yang untung? Kita jugak yang untung. Alhamdulillah. Jadi, terima kasih ye Raja Nong Chik!