Beberapa klausa diperhalusi

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Mac – Kerajaan tidak akan menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru 2010 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun ini meskipun terdapat desakan untuk berbuat demikian.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, ini kerana rang undang-undang tersebut mewakili kehendak penduduk dan waris Kampung Baru setelah kerajaan mengambil kira pandangan mereka secara keseluruhan.

Beliau berkata, cuma di peringkat ini kerajaan sedang memperhalusi beberapa klausa yang terdapat di dalam draf rang undang-undang berkenaan.

“Kita tidak akan menarik balik rang undang-undang ini dan kita juga telah mengadakan perjumpaan berkali-kali dengan wakil pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan begitu juga dengan semua ketua kampung.

“Semua sepakat menyokong penuh penubuhan rang undang-undang ini dengan beberapa klausa diperhalusi, sebab itu kita tangguh pembentangannya sehingga Jun,” katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru 2010 dikemukakan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 14 Disember 2010 bertujuan menubuhkan satu perbadanan yang bertanggungjawab merancang dan mengawal selia pembangunan Kampung Baru.

Bagaimanapun rang undang- undang itu yang dijadual dikemukakan untuk bacaan kali kedua dan dibahaskan pada persidangan kali ini ditangguhkan sehingga Jun bagi membolehkan beberapa klausa di dalam rang undang-undang itu diperhalusi.

Raja Nong Chik dalam penggulungannya turut menolak dakwaan Dr. Lo’Lo’ Mohamad Ghazali (Pas- Titiwangsa) bahawa beliau mungkir janji apabila membentangkan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat sebelum bertemu dengan pihak berkepentingan di Kampung Baru.

Dalam pada itu, Raja Nong Chik berkata, wakil kementerian akan turun ke setiap kampung bagi menjelaskan mengenai rang undang-undang itu supaya tidak timbul sebarang kekeliruan.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata, kementerian bersedia menimbang cadangan supaya nama beberapa jalan di ibu negara ditukar dengan nama tokoh seperti Jeneral Tun Ibrahim Ismail dan Leftenan Adnan Saidi.

Katanya, selain nama jalan seperti yang dicadangkan Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas), masih terdapat nama jalan dalam senarai menunggu untuk digunakan bagi jalan baru, antaranya nama Allahyarham Tun Hussein Onn atau Jalan Tun Hussein Onn dan Allahyarham Tun Ghaffar Baba atau Jalan Tun Ghaffar Baba.

Bagaimanapun beliau berkata, penukaran nama sesuatu jalan yang sudah bernama di Kuala Lumpur kepada nama baru pada kelazimannya menerima bantahan.

“Ini disebabkan pemilik premis sudah lama menggunakan alamat premisnya berpandukan pada nama jalan berkaitan dan akan menimbulkan kesulitan seperti pertukaran Mykad, alamat premis, surat-menyurat, bil utiliti dan sebagainya.

“Kelulusan penamaan atau pertukaran nama jalan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuk di Putrajaya dan Labuan adalah di bawah Jawatankuasa Negeri Nama Geografi Wilayah Persekutuan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: