Terima kasih. Makcik akan ingat hari ini sampai mati.

KUALA LUMPUR 15 Julai – “Terima kasih, terima kasih. Mak cik akan ingat hari ini (hari menerima tawaran rumah ini) sampai mati”.

Itu luahan pertama Che Puteh Shuib, 63, kepada wartawan Utusan Malaysia selepas majlis penyerahan surat tawaran rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Cempaka di Pejabat UMNO Bahagian Lembah Pantai, semalam. Raja Nong Chik

Apa lagi yang diperlukan oleh seorang pesara seperti Che Puteh yang sebelum ini tinggal di setinggan Jalan Tepi Sungai Pantai Baru yang serba daif dan kekurangan.

Kawasan perumahan setinggan yang sudah didiaminya lebih daripada 30 tahun sebelum ini sememangnya tidak sempurna dan terdedah dengan ancaman keselamatan selain kebocoran atap yang kerap terjadi apabila hujan turun.

Che Puteh merupakan salah seorang daripada 11 penerima surat tawaran rumah PPR Sri Cempaka yang menerima surat tawaran yang sama.

Tambahnya, kegembiraan itu kini tidak dapat disembunyikan lagi apabila membayangkan kehidupan baru yang jauh lebih selesa bersama keluarga kelak.

“Mak cik tak sabar untuk berpindah. Difahamkan urusan perpindahan akan selesai dalam masa seminggu.

“Ia membuka lembaran baru di dalam kehidupan keluarga mak cik. Mak cik rasa ini saat yang tidak akan dilupakan sehingga akhir hayat,” ujarnya.

Kehadiran Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pada majlis itu juga menambah keyakinan penduduk di Lembah Pantai tentang kesungguhan pemimpin mereka itu untuk membantu mereka yang memerlukan.

Kisah Che Puteh sebenarnya hanya cebisan daripada beribu-ribu kisah penghuni setinggan yang sudah diberikan rumah PPR oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Seorang lagi penerima PPR, Mohd. Zamri Mohd. Nor, 33, pula menyifatkan penerimaan surat tawaran itu sebagai tuah yang tidak disangka-sangka.

Katanya, kecepatan pihak DBKL memproses permohonannya dan kemudian ditawarkan rumah menyebabkan dia tergamam seketika.

Namun, dia kemudian sedar dan yakin bahawa masih ada pihak yang benar-benar ikhlas dan mahu membantu golongan sepertinya keluar dari kesusahan.

“Ini tuah keluarga. Kami berhutang budi kepada UMNO khususnya UMNO Lembah Pantai, DBKL dan Raja Nong Chik sendiri kerana menawarkan rumah baru ini.

“Ini kesungguhan yang harus diberi pujian, selama ini saya sekeluarga tinggal di rumah yang serba kekurangan. Perpindahan ini pasti menjadikan kami sekeluarga dapat hidup dengan lebih selesa,” katanya.

Seorang lagi penerima rumah PPR, Azizie Razali, 32, berkata, penantian keluarganya selama ini seolah-olah didengar dan rintihan keluarganya yang tinggal di rumah setinggan telah terbela.

Dia yang sudah tinggal lebih 10 tahun di rumah setinggan berkata, tawaran rumah PPR itu menjadikan dia mahu bekerja dengan lebih gigih bagi meningkatkan taraf hidup keluarga.

“Sudah lebih 10 tahun saya tinggal di rumah setinggan. Kini kerajaan sudah membela nasib kami dan ucapan terima kasih harus diucap.

“Saya mahu bekerja dengan lebih gigih. Saya mahu mencari duit lebih untuk membeli perabot dan mencantikkan rumah baru kelak,” jelasnya.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata, baki kira-kira 100 lagi pemilik rumah setinggan di kawasan Lembah Pantai akan ‘dibersihkan’ dan nasib keluarga berkenaan akan terbela dengan menerima rumah baru dalam masa terdekat.

Jelasnya, sehingga hari ini, pihaknya masih berusaha untuk memastikan keluarga yang masih menetap di kawasan setinggan berpindah dan menikmati kehidupan yang lebih selesa.

“Kita akan beri rumah PPR kepada yang berkenaan. Kita akan bantu dan memastikan tiada lagi setinggan di Lembah Pantai dan Kuala Lumpur pada masa hadapan,” katanya.

Tambah Raja Nong Chik, usaha yang dibuat akan diteruskan tanpa sebarang alasan penangguhan.

“Macam hari ini, kita sudah bagi 11 keluarga rumah baru. Mereka juga akan berpindah dalam masa seminggu dan menikmati kehidupan yang jauh lebih baik daripada sebelum ini,” ujarnya.

Perpindahan itu kelak, katanya, akan membawa penduduk setinggan yang selama ini sengsara dan hidup dalam kekurangan kepada situasi yang lebih selesa.

“Sebelum ini mereka tinggal di setinggan yang tidak mempunyai kawalan keselamatan selain diancam pelbagai risiko termasuk bencana alam. Kini mereka boleh mengukir senyuman dan berpindah ke rumah baru tanpa sebarang kerisauan lagi.

“Jangan risau. Mana-mana penghuni setinggan di sini akan terbela dan kemudahan PPR baru nanti diharap memberikan lebih keselesaan, selain membuka mata semua pihak terhadap keikhlasan kami membantu warga miskin,” ujarnya.

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: