Tubuhkan konsortium untuk dapatkan pekerja asing – Raja Nong Chik

Lagi mengenai pekerja asing. Ada pihak yang menentang keras mengenai isu pekerja asing, tapi ada juga yang menyokong kerana mereka memerlukan pekerja asing supaya perniagaan mereka berjalan lancar. Senang kita berkata apa saja, tapi apa kata kita dengar pendapat semua pihak. Buka menutup sebelah telinga, dan melantangkan suara.

————————————————————————————————————————-

KUALA LUMPUR: Persatuan peniaga Pasar Pudu, di sini, dicadang menubuhkan konsortium bagi memohon supaya pekerja warga asing dibenarkan bekerja sebagai pembantu di premis mereka, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Bagaimanapun, katanya perkara itu bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetapi perlu dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendapat kelulusan.

“Jika ikutkan dasar kerajaan, kita memang tidak galakkan pekerja asing bekerja sebagai pembantu di pasar ini tetapi kerana ada permintaan daripada peniaga dan kita faham ada kerja di pasar ini yang tidak mampu dan tidak mahu dibuat oleh warga tempatan seperti buat kerja berat dan angkat barang.

“Oleh itu, saya fikir penggunaan pekerja asing ini boleh dipertimbangkan dan saya akan sokong permintaan peniaga di pasar ini yang mahu mengambil pekerja asing tetapi perlu dibuat secara terkawal dan sah dan bawa ia kepada KDN.

“Peniaga di pasar ini boleh mengambil contoh Pasar Borong Selayang yang menggunakan kaedah ini (menubuhkan konsortium) untuk mendapatkan khidmat pekerja asing. Bagaimanapun, sebarang kelulusan, terpulang kepada KDN kerana isu pekerja asing ini adalah isu sensitif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pasar Pudu, baru-baru ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail.

Raja Nong Chik berkata, setakat ini seramai 300 pekerja asing berkerja di Pasar Pudu untuk menjalankan kerja berat yang tidak mampu dilakukan oleh pekerja tempatan.

“Kita bukan mengecualikan mereka yang tidak mengikut peraturan ini, tetapi kita cari penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah ini. Oleh itu kita cadangkan ditubuhkan konsortium.

“Bagaimanapun, bagi kes yang jual lesen kepada warga asing, memang kita tidak akan bertolak ansur, kita akan ambil tindakan tegas mengenai kesalahan ini iaitu menarik lesen peniaga yang terbabit.

“Setakat tahun lalu hingga tahun ini, seramai 579 peniaga di Pasar Pudu ini sudah ditarik lesen mereka kerana melakukan kesalahan seperti melantik pembantu tanpa kebenaran,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Pasar Pudu juga akan dinaik taraf selewat-lewatnya awal tahun depan bagi memberikan kemudahan yang lebih baik kepada peniaga dan persekitaran yang lebih selesa kepada pengguna ketika berkunjung ke pasar berkenaan.

“Kita akan lakukan kerja naik taraf longkang di pasar ini, terutama di kawasan gerai yang menjual daging khinzir bagi memudahkan pengaliran air sekali gus menjadikan pasar ini lebih bersih.

“Selain itu, memandangkan lot perniagaan sedia ada ini beroperasi di atas jalan dan tapak pasar agak uzur, jadi kita akan membina tapak konkrit untuk memberi keselesaan kepada peniaga dan pengguna supaya tidak berlaku becak atau air bertakung, terutama ketika hujan,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun tiada peruntukan khusus disediakan untuk kerja naik taraf pasar berkenaan tetapi kementerian akan berusaha mendapatkan peruntukan itu supaya kerja naik taraf boleh dijalankan.

“Kerja naik taraf longkang boleh dijalankan dalam masa terdekat tetapi kerja membina lantai konkrit itu mungkin mengambil masa, jadi saya jangkakan jika tidak dapat dijalankan pada penghujung tahun ini, selewat-lewatnya, awal tahun depan kerja pembinaan boleh dimulakan,” katanya.

Oleh Nor Azma Laila
norazma@bharian.com.my
(Sumber: Berita Harian)

————————————————————————————————————————–

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: